CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Selasa, 26 Mei 2009

Anak: Rezeki atau Bencana???



Saban hari kita sering digemparkan dengan pelbagai jenis masalah sosial yang kian menjadi barah dalam masyarakat. Sungguh menyedihkan kerana daripada masalah-masalah dilakukan, statistik yang terbanyak adalah dicatatkan oleh bangsa kita sendiri yang mana mereka juga beragama Islam.

Di sini penulis ingin membawa para pembaca dan mengingatkan diri penulis sendiri bahawa dalam banyak-banyak masalah itu, pembuagan anak adalah antara masalah tertinggi yang dicatatkan kebelakangan ini. 22 Mei lepas, sorotan dada-dada akhbar sekali lagi melaporkan berita tentang penemuan mayat seorang bayi di kawasan semak berhampiran dengan tapak projek rumah terbengkalai di Kampung Melayu Subang. Yang menyedihkan hati kita lagi adalah tatkala melihatkan sekujur tubuh yang tiada lengan dan kaki serta beberapa kesan gigitan pada tubuh badannya. Si kecil yang tidak bersalah menjadi mangsa di atas ketandusan iman manusia yang bergelar hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini. Maha Suci Allah, hati tercalar melihatkan bayi tersebut.

Anak

Bila bercakap tentang anak, kita pasti tersenyum keseorangan kerana kita juga seorang anak, jadi bila disebut perihal anak secara automatiknya minda kita menerjah terbayangkan bagaimana untuk menggalas bebanan sebagaimana ibu dan ayah kita lakukan sekarang.

Anak adalah satu anugerah yang cukup bernilai buat setiap pasangan suami isteri yang datangnya daripada kurniaan Yang Maha Esa. Kedatangan mereka merupakan suatu penantian yang penuh debaran dan sebagai tanda kasih sayang, ibu bapa pasti tidak senang untuk memikirkan apakah nama yang sesuai untuk anak mereka. Hal ini juga jelas tercatat dalam sirah junjungan saat ibu nabi kita Muhammad s.a.w, Aminah yang sering didatangi mimpi dan bisikan untuk menamakan bayi dalam kandungannya dengan nama yang sungguh indah iaitu ‘Muhammad”. Lalu ilham itu telah diadaptasikan tatkala nabi kita dilahirkan. Begitu jugalah dengan setiap pasangan suami isteri, mereka juga melalui saat sedemikian kerana setiap ibu bapa pasti menginginkan yang terbaik untuk anak lebih-lebih lagi anak yang dikandung itu anak pertama. Nabi s.a.w ada mengingatkan kita dengan bersabda:

“Tanggunjawab bapa kepada anaknya ialah memberikan nama yang baik dan memperelokkan adabnya.” (Riwayat al-baihaqi daripda Ibnu Abbas).

Namun bagaimana pula dengan anak yang tidak dinantikan tapi hadir juga? Disebabkan perkara itulah kita sering disogokkan dengan pelbagai kes pembuangan dan penderaan yang mana haiwan sendiri pun tidak berkelakuan sedemikian rupa. Seperti yang berlaku ke atas dua orang adik beradik yang berusia dalam lingkungan sembilan dan enam tahun baru-baru ini, mereka telah didera oleh ibu tiri dengan begitu tragis sekali. Bukan hanya dipukul dengan penyangkut baju sehingga patah bahkan mereka juga dipaksa agar meminum air kencing dan menjilat mangkuk tandas tanpa rasa belas kasihan sedikit pun. Kenapa hal yang demikian berlaku sedangkan kita sudah pun berada di alaf serba canggih, namun masih lagi ada manusia yang tidak berperikemanusiaan? Tidak sedarkah kita bahawa anak merupakan suatu tonggak yang penting bukan sahaja untuk agama, bangsa malahan juga negara yang kita cintai ini.

Setelah anak dilahirkan

Sayangilah anak kita sekalian kerana tanpa nilai murni dan tarbiyyah Islam dilaksanakan, maka rosaklah negara, bercambahlah budaya kuning dalam masyarakat kita. Dari awal kelahiran, bapa dituntut agar mengazankan/mengiqamatkan ke telinga anak dengan kalimah suci. Di samping itu, Islam juga amat menggalakkan agar setiap bayi yang lahir dapat diberikan susu ibu sejaklah dari awal kelahiran lagi. Namun, realiti yang dapat kita lihat sekarang adalah ibu bapa lebih selesa untuk memberikan anak mereka susu formula yang kian banyak di pasaran. Hal ini sudah tentu tersasar jauh dari kehendak Islam sebagaimana yang telah Allah firmankan dalam Sural al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud;

“Dan ibu-ibu hendaklah mnyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi mereka yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”

Begitu agung Allah s.a.w, sebaik sahaja ibu melahirkan seorang bayi maka proses pengeluaran susu juga bermula. Banyak faedah kita dapat lihat bukan sahaja pada bayi tetapi juga pada ibu yang melahirkan. Ironinya, ramai wanita takut untuk memberikan bayi mereka susunya sendiri kerana takut bentuk tubuh badan mereka akan berubah. Namun sedarkah kita dengan memberikan susu dan dibantu dengan sedikit senaman, seseorang wanita itu akan dapat melangsingkan badannya semula dengan segera.

Dalam hal ini, penulis begitu kagum pada ibu-ibu yang juga bekerja akan tetapi dalam masa yang sama tetap berusaha untuk tidak memberikan anak mereka dengan susu formula yang ada sekarang. Dalam kepayaan dan kekangan masa yang ada, mereka akan sedaya upaya mengekalkan perlakuan murni ini. Dalam hal ini suami juga berperanan berpandukan teknologi dan kaedah-kaedah yang ada sekarang. Pernah penulis lihat dalam situasi seorang ibu yang bergiat dengan perjuangan dan kerja-kerja Islam itu sendiri, waktu rehatnya dia akan memgambil peluang untuk pulang menjenguk anak di rumah dan jika ingin meninggalkan bayinya, dia akan membekalkan susunya sebagai simpanan. Begitulah iktibarnya, walau sesibuk mana sekalipun seseorang ibu, pelbagai cara boleh diambil untuk meneruskan ajaran murni ini.

Berbalik pula pada trend yang dibawa sesetengah ibu bapa kini pula, mereka lebih cenderung untuk mengajar anak-anak mereka dari seawal dua tahun dengan menyebut A, B, C, D, E atau 1, 2,3 bukan dengan mengenalkan mereka dengan Pencipta Yang Maha Esa. Mereka juga mengajar anak-anak untuk menyebut papa dan mama bukan dengan mengajar anak terlebih dahulu menyebut Allah. Sepatutnya anak-anak diberi pentarbiayyahan dengan asas-asas aqidah seperti yang diajarkan dalam agama Islam yang suci. Jika kaedah-kaedah seperti ini tidak terlaksana, maka tidak hairanlah mengapa dan kenapa gejala sosial semakin bertambah dalam masyarakat kita dari hari ke hari seperti kes-kes lain juga seperti kes ragut, rogol, bunuh, delinkuen di kalangan remaja, dan sebagainya.

Justeru itu, sedarlah kita pelbagai method harus diambil untuk menangani permasalahan ini, kerana jika tidak dikekang hingga ke akar umbinya maka semakin berleluasalah gejala sosial umat pada masa kini. Bukan sahaja kes-kes yang telah disebutkan di awal perbincangan tadi, tetapi juga masalah-masalah lain pasti akan terus membiak dan merebak sehingga lebih banyak. Bagi penulis, tonggak utama yang mencorak baik buruknya dalam pembentukan masyarakat kita kini adalah ibu bapa itu sendiri. Kita tidak perlu menuding jari ke arah pihak lain akan tetapi hendaklah terlebih dahulu muhasabah diri kita sendiri terlebih dahulu. Sepertimana yang telah dijelaskan dalam sabda Rasul Junjungan;

“Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan suci bersih, maka ibu bapanyalah yang bertanggungjawab membentuk samada Yahudi, Nasrani atau Majusi.”


Di akhir kalam, penulis ingatkan sekali lagi untuk diri penulis sendiri dan juga para pembaca yang budiman agar, pilihlah pasangan yang beriman, beramal soleh dan berfikrah dengan fikrah Islam agar pembentukan keluarga mampu dalam lingkungan syariat Islam bagi meneruskan kesinambungan perjuangan dan mampu untuk melahirkan pejuang-pejuang dan serikandi Islam untuk masa hadapan.

Sekian,
Nurul Asyhira binti Mastari
Hamba ALLAH yang dhaif.

Khamis, 21 Mei 2009

Auntie...


“Saya ini masuk Islam hanya untuk try saja.. mana boleh amal, sbb saya benci..kerajaan contohnya hanya bagi kelebihan pada orang2 yang beragama islam saja. Apa tu? Saya x suka…n saya masuk ni pun sbb saya nak dapatkan keistimewaan tu juga. Cuba awak berdua fikir, buat tu tak boleh, buat ni tak boleh..agama ni langsung takda kebebasan-human right pada kita semua. Awak nak tau, satu hari pekerja saya kena tahan oleh satu kumpulan org..tk taula org apa, mcm polis (pihak jabatan agama-JAIS) sebab diaorang duduk sama org laki. Encik2 polis tu kata yang diorg salah sbb 1 rumah sama n tak kawin. Diorg kn amik laki duduk sama saya yang suruh, untuk jaga diorg..negara kita sekarang kan banyak masalah rogol la, rompak la..itu pasal saya suruh duduk dgn org laki.”

”Awak berdua jangan risau, walaupun hati saya takda untuk islam tetapi saya tetap tak minum arak, x makan babi, dan apa saja larangan. Saya ini ada disiplin, you tau. Yang penting hidup kita berdisiplin, xperlu peraturan dan undang-undang yang ada pada islam. Saya tak suka la...”

Inilah secebis kata-kata yang saya terima dari seorang auntie berketurunan cina tapi telah memeluk Islam lebih kurang 15 tahun yang lepas tentang ‘ketelanjurannya’ memeluk Islam. Uhh..berat minda ni saya rasa kan apabila memikirkan kebiadabannya terhadap fahaman Islam. Maaf auntie, xterniat untuk saya berkasar bahasa, namun sedikit gurisan pada saya dan Lili sukar untuk diterima, bukan sahaja utk kami tapi juga pada sahabat2 semuslim kita yang lain. Auntie, kenapa kau katakan begitu?

Dalam masa lebih kurang sejam bersama auntie, terselit sedikit persaan ‘sayang dan kasih’ kerana auntie juga saudara kami semuslim. Tapi auntie, saya kaget.. tak tahu menuturkan bicara apabila auntie mengatakan sedemikian rupa pada kami. Sukarnya nak telan.

Saya balik..muhasabah semula..betapa ceteknya ilmu..bukanlah saya ini mengaku kalah, tapi sedih kenapa dan mengapa saya tak mampu untuk bidas balik apa yang telah auntie utarakan pada kami. Ni lah yang membuatkan hati nekad untuk terus habiskan bacaan dalam The Choice dan mendalami ilmu-ilmu yang lain agar mampu membidas kembali apa yang telah auntie luahkan pada kami tempoh hari.

Bukanlah niat untuk terus ‘melawan’ auntie dengan menjatuhkan kembali maruah auntie, tapi hanya satu untuk mengembalikan auntie di alam nyata..menyedari kembali apa yang telah kembali auntie perkatakan..mudah2an kita sama tergolong dalam golongan orang2 yang di beri petunjuk..

"Al-Islamu Yu'la Wala Yu'la Alaih.."

p/s: mohon pandangan sahabat2 logik akal yg bagaimana perlu digunakan...syukran.

Sabtu, 16 Mei 2009

NIkah Khitbah


Nikah Khitbah : Solusi Masalah Cinta Remaja!
Dicatat oleh Bait Muslim Unite di Khamis, Februari 19, 2009 Label: Perkahwinan dan Cinta
Nikah Khitbah : Solusi Masalah Cinta Remaja!
Oleh : Ustaz Maszlee Malik



Selepas Majalah I sudi menerbitkan artikel “Cinta anta dan anti” penulis menerima banyak maklum balas. Sama ada melalui sms, panggilan telefon, emel dan juga pertanyaan-pertanyaan. Apabila majalah I bulan Mac pun turut memaparkan reaksi para pembaca mengenai artikel tersebut, persoalan ini semakin popular. Terdapat juga pertubuhan-pertubuhan di IPTA dan IPTS menjemput penulis untuk berbicara “soal cinta”. Walaupun bukanlah seorang pakar dalam hal ini, namun pengalaman yang dilalui sepanjang enam tahun menjadi pensyarah IPT turut mendorong artikel tersebut dihasilkan.

Antara soalan yang biasa diajukan kepada penulis berkaitan artikel “cinta anta dan anti” ialah: “Apakah kesudahannya?” atau “Apakah penyelesaiannya?” Artikel tersebut seolah-olah tergantung, dan ramai yang begitu ingin mendapatkan jawapannya.


“Ustaz, jangan biarkan kami terawang-awang begini, berikanlah penyelesaiannya!”, antara bunyi sms yang pernah diterima. Mudah-mudahan nukilan ini cuba memberikan alternatifnya.
Akibat Kurang Bercinta

Ketika ada yang bertanya punca siswa dan siswi Melayu kurang cemerlang di IPT, saya jawab dengan mudah: “Mereka kurang bercinta!”. Tentu ramai yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut. Mereka lantas mengungkit teori saya bahawa ramainya pelajar Melayu gagal di IPT adalah kerana gejala “coupling”. Saya menegaskan bahawa memang “coupling”lah yang menjadi faktor utama kegagalan pelajar-pelajar IPT, tidak kira Melayu atau bukan. Coupling hanya menghabiskan masa, duit, perasaan dan juga tenaga intelektual yang mereka ada. Coupling hanya membawa kepada kegagalan, kecuali coupling yang halal, iaitu menerusi perkahwinan! Lihat sahajalah laporan akhbar kosmo mengenai kegiatan seks luar nikah dan juga aktiviti pengguguran para siswi IPT di ibu kota .

Cuma bercinta dan coupling adalah dua benda yang berbeza. Bercinta yang dimaksudkan ialah proses percintaan yang sebenar. Cinta yang suci dan bersifat positif dan jauh dari pencemaran maknanya yang hakiki. Cinta yang difahami oleh kebanyakan orang dewasa ini adalah “nafsu” dan bukannya cinta. Cinta telah ditukarkan kepada nafsu oleh idealogi materialisme dan juga liberalisme yang berjaya menjajah pemikiran manusia dewasa ini. Cinta sebenarnya bersifat suci dan positif serta jauh dari nafsu. Sayangnya apabila manusia gagal memahami erti cinta, mereka telah menjadikannya sesuatu yang taboo, negatif dan juga tidak suci lagi.

Coupling pula, walaupun dari segi literalnya bersikap neutral, tetapi telah dikotorkan oleh idealogi liberal yang menjadikannya hanya sebagai definisi kepada perhubungan intim dia insan berlaina jantina sebelum berkahwin. Mengikut tafsiran coupling yang difahami oleh ramai orang dewasa ini, ia bukanlah bercinta, tetapi lebih kepada “melayan nafsu serakah” semata-mata.
Cinta yang dimaksudkan di sini ialah cinta suci. Cinta kepada Allah dan Rasul, cinta kepada agama Islam, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada Negara dan juga cinta kepada pasangan suami atau isteri. Cinta akan menjadi unsur motivasi dan penggerak, dengan syarat ia adalah cinta sejati!Khitbah Bukan Tunang

Salah seorang remaja dari salah sebuah IPT di Gombak pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”.

Penulis menjawab: “Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, bercouplelah, tapi kena dengan cara yang halal…iaitu bernikah!”.

Jika diutarakan persoalan nikah, ramai yang akan memberikan respon yang skeptic. “Mana ada duit!”, “Nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak bapak tak kasi!”, “Nak tinggal di mana?”, “Mana ada kerja lagi!”, “Diri sendiri pun tidak terjaga!” dan pelbagai alasan lagi. Mengapa mereka boleh mengemukakan alasan-alasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja… “Kamu wajib berkhitbah!”.

Apakah “khitbah”? Jika diterjemahkan secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak.

Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung”. Bukankah bunyinya amat mengerikan?
Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan para siswa dan siswi kampus yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.
Khitbah di IPT

Jika pelbagai alasan yang dikemukakan demi mengatakan bahawa bernikah di alam kampus itu mustahil, maka khitbah adalah solusinya. Kedua-dua pasangan tidak perlu duduk sekali, tidak perlu mencari rumah berasingan, tidak perlu menanggung satu sama lain, tidak perlu makan lebih,tidak perlu membeli peralatan rumah dan perabot-perabot. Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja.

Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa akan tidak bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kebejatan moral menggila. Lihatlah apa yang berlaku di IPT-IPT seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini mengenai aktiviti pengangguran di IPT-IPT Lembah Klang sudah cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus kearah maksiat dan nafsu.

Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.

Kebanyakan ibu bapa menyuarakan kerisauan mereka terhadap kemungkinan anak mereka akan hamil dan ia sudah pasti mengganggu pembelajaran. Penyelesaian untuk perkara tersebut amat mudah. Pasangan itu sendiri perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan pelbagai cara untuk mengelakkan kehamilan sewaktu belajar. Adalah amat naïf bagi mereka yang hidup alaf baru ini tidak mengetahui cara untuk mencegah kehamilan. Jika kaedah pencegahan tersebut gagal, dan dengan izin Allah, pasangan tersebut terpaksa menghadapi fasa kehamilan, maka sokongan ibu bapa amat diperlukan.


Risiko
Seperkara yang perlu diingat, perkahwinan di kampus ini juga tidak sunyi dari risiko. Adalah terlalu silap untuk menyangkakan semuanya indah belaka tanpa sebarang cabaran. Pernikahan di kampus hanyalah salah satu penyelesaian untuk masalah perhubungan bebas di antara jantina dan juga salah satu kaedah rawatan untuk gejala maksiat di IPT. Sekurang-kurangnya, walaupun ia berisiko, namun ia masih dapat mengelakkan risiko yang lebih besar. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak terlibat dengan gejala berpacaran, serta boleh mengawal diri dan nafsu, adalah digalakkan untuk mereka hanya menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Cadangan nikah kampus atau nikah khitbah ini hanyalah untuk mereka yang tidak mempunyai ketahanan jiwa dan keyakinan diri yang mantap untuk menghadapai cabaran semasa yang begitu menggila. Akhirnya kepada para siswa dan siswi kampus dan juga para aktivis di universiti, walau apapun tindakan yang diambil, pastikan mardhatillah menjadi matlmat utama!


SILAT, APA KELEBIHANNYA?







Saban hari kita sering disogokkan dengan seribu macam bencana buruk yang berlaku ke atas wanita. Disebabkan wujudnya kelamahan, wanita sering menjadi mangsa ke atas nafsu serakah binatang yang bertopengkan manusia.

Tanpa belas ehsan, mereka di’ratah’ tanpa sebarang belas ehsan sedikit pun. Baru-baru ini saya ada mendengar berita yang belaku di IPT saya sendiri berhubung dengan sikap pemandu-pemandu teksi dan jga karenah segelintir pemandu kereta persendirian. Bukan sahaja cekik darah, tetapi mereka juga sanggup melakukan perlakuan yang cukup memalukan dan menjijikkan. Pun begitu, kita juga sering dikejutkan dengan pelbagai kes ragut yang kian menjadi barah dalam masyarakat kita pada masa kini.

Justeru, atas kesedaran ini, saya mengingatkan diri saya sendiri dan sahabat-sahabat untuk sentiasa mengambil pelbagai langkah bukan sahaja sebagai langkah berjaga-jaga tetapi juga untuk mempertahankan diri andai perkara tersebut berlaku (nauzubillah).

Petikan ini saya ambil daripada petikan akhbar yang saya rasakan salah satu cara yang terbaik untuk setiap wanita praktikkan di samping menjaga amalan-amalan sebagaimana Islam anjurkan.

KOTA BHARU, Golongan wanita khususnya di kalangan remaja disaran mempelajari ilmu mempertahankan diri bagi dimanfaat ketika waktu-waktu terdesak. Menteri Besar, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ilmu tersebut wajar dipelajari sebagai usaha untuk mempertahankan diri daripada gangguan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, apabila wanita mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri kejadian ragut dan pencabulan yang semakin menjadi-jadi membabitkan golongan wanita sekarang dapat dikurangkan.

Sekiranya golongan wanita mempunyai ilmu itu sedikit sebanyak mereka tahu cara untuk mempertahankan diri dari terus menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab, katanya di sini.

Sehubungan itu beliau mencadangkan wanita yang berminat mempelajari ilmu mempertahankan diri mencari tenaga pengajar yang benar-benar terlatih serta dan berkaliber.


DOA ELAK DARIPADA DIROGOL/DICABUL

'Bismillahillazi la yadurru ma'asmihi syaiun fil ardhi wala fissamaii wahuwassamiun'alim'

(Dengan nama Allah yang tiada dimudharatkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit. dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.)

'Allahumma in kunta ta'lamu anni Aamantu bika wabiRasulika waahsontu farji illa 'ala zauji fala tusallit alayyalkafir'

(YaAllah, jika Engkau mengetahui bahawa aku beriman kepadaMu dan RasulMu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suami ku, maka lindungi aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim)

Rabu 13 Mei 2009 | 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah

Rabu, 13 Mei 2009

Bagaimana untukku Khabarkan dalamnya Kasihku


Salam kerinduan buat ibuku yang jauh di mata…


Secabis coretan ku nukilkan buatmu ibu agar kau tahu ku amat mengasihimu, menyayangimu, merinduimu dan mencintaimu…

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Kebiasaannya, satu cara untukku pamerkan rasa kasih ku padamu adalah dengan menghadiahkan sesuatu yang amat bermakna buatmu..namun ibu, aku tahu bahawa itu masih tidak lagi cukup untuk aku samakan dengan pengorbananmu padaku selama ini…

Mama,
Aku tak mampu mencoretkan tulisan bahasa indah buatmu,
Tapi harapanku agar warkah ini mampu menggambarkan betapa dalamnya kasihku padamu..

Ibu,
Telah kau khabarkan akulah anak yang didik kau bagai menatang minyak yang penuh,
Aku tahu, dan aku sedar itu bu..tapi kenapa aku jadi anak yang ‘nakal’ suatu masa dahulu..
kini aku sedar, aku tidak mahu begitu..aku ingin terus jadi anak solehah buatmu
kerana kau selayaknya memiliki kasihku..

Mak,
Saat aku tersunggur, kaulah insane yang sering menghembuskan nafas semangat
Saat aku berduka, kau berikanku sinar keceriaan
Saat aku menderita, kaulah pengubat segalanya
Begitu juga saat aku riang diulit kebahagiaan dan kejayaan, kaulah yang meraikan..

Umi,
Di hamparan ini,
Aku ingin nyatakan kelemahanku..
Kerana aku bukanlah anakmu yang terlalu baik untuk dijulang
Aku sering terleka dibuai kecukupan.
Aku sering terabai segala taklifan..

Mummy,
Aku mohon ampunan darimu
Kau halalkanlah segala suapan kasih sayang dan jirusan belaian darimu
Perkenankan dan restuilah segalanya mummy kerana aku pasti yang anakmu ini takkan terus bersamamu di alam fana ini
Kerana mungkin jika tidak disapa menjadi milik seorang rijal sekalipun aku kan tetap dijemput Tuhan..
Ibu, aku ingin bersamamu..selama-lamanya bu..


Aku tujukan lrik indah ini buatmu ibu dan buat semua wanita yang telah Allah jadikan terlalu istimewa..terimalah..

Sebutir permata diperluhurkan
Memancar sinaran di kegelapan
Biarpun tersimpan dalam Lumpur
Serimu takkan luntur.

Tergambar sebuah ketenangan
Namun tak siapa yang mengerti
Rahsia dalam hati…

Wanita tertawa,
Wanita menangis,
Wanita tersenyum,
Wanita berduka..
Biar apa pun yang menanti
Kau tetap teguh berdiri
Dalam satu perjuangan yang tak berkesudahan..

Kau korbankan segala
Tak pernah minta balasnya
Kau titiskan air mata
Namun tersenyum jua..

Wanita engkaulah sang lentera
Tanpamu sepilah persada maya
Semoga kau damai sejahtera
Untuk selama-lamanya….


(Ibu, semoga kau tabah dan bahagia dalam membesarkan ku dan adik-adik yang pernah sunyi dari segala macam kerenah..Ibu, aku sayang ibu)