CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Khamis, 24 Disember 2009

Cabaran FATWA dalam Era Moden

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
pengarang@utusan.com.my

INSTITUSI fatwa merupakan institusi yang sudah lama wujud di Malaysia dan merupakan satu sumber perundangan Islam selain daripada enakmen undang-undang bertulis di negara ini.

Walaupun fungsi dan tanggungjawab institusi ini berbeza daripada Majlis Agama Islam dan Mahkamah Syariah, daripada aspek perundangan, institusi ini mempunyai kuasa serta kedudukan tersendiri seperti yang ditetapkan dalam undang-undang Islam di setiap negeri.

Institusi ini juga mempunyai peranan dan tanggungjawab khusus untuk menyelesaikan sebarang persoalan mengenai hukum syarak serta menjelaskan kekeliruan dan kesamaran sesuatu hukum.

Fatwa mengikut Ensiklopedia Islam didefinisikan sebagai keputusan tentang sesuatu hukum agama (yang belum pernah diputuskan) berdasarkan al-Quran, hadis dan sumber hukum lain termasuk ijtihad mufti (atau mereka yang berhak tentang membuat keputusan hukum syarak).

Fatwa merupakan suatu keputusan yang dibuat oleh mufti atau penjelasan hukum syarak sesuatu kumpulan yang terdiri daripada mereka yang mahir dalam agama seperti Jawatankuasa Fatwa dan Jawatankuasa Syariah bagi sesuatu masalah sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya secara sendirian atau berjemaah.

Pada sesi pembentangan kertas kerja pada Simposium Kebangsaan mengenai Fiqh, Sains dan Teknologi (FST) 2009 di Johor Bahru baru-baru ini, Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsuddin berkata, fatwa berperanan memberikan penjelasan tentang hukum untuk pegangan masyarakat di samping membuat penyeragaman hukum bagi kepentingan semua.

Terdapat empat sumber rujukan utama bagi digunakan untuk mengeluarkan sesebuah fatwa iaitu al-Quran, sunah, ijmak dan qias.

Selain daripada empat sumber itu, Jawatankuasa Fatwa atau Mufti akan merujuk kepada pendapat para sahabat, tabiin, imam-imam mazhab dan fuqaha' dengan mengadakan penelitian terhadap dalil dan wajah istidlalnya.

Tahrir berkata, pendapat Mazhab Shafie akan digunakan untuk sesuatu fatwa kecuali jika didapati sebab tertentu untuk menggunakan mazhab-mazhab Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ) lain untuk mencari pendapat yang lebih kuat dalilnya untuk difatwakan.

"Apabila masalah yang difatwakan tidak terdapat dalam ketetapan, maka ia akan dilakukan mengikut ijtihad Jama'ie iaitu berdasarkan sumber al-masalih al-mursalah, al-urf atau al-adah muhakkamah, syar'u man qablana, amal ahl al-madinah, al-istihab, saddu az-zarai, al-istihsan dan kaedah-kaedah fiqh," katanya.

Al-Qardhawi dalam bukunya al-Ijtihad al-Mu'asir menegaskan, ijtihad semasa perlu dilakukan untuk menilai kembali hasil ijtihad dan fatwa zaman lampau yang tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

Mengulas mengenai perkara itu, Al-Qhardawi menekankan, para fuqaha terdahulu sentiasa mengingatkan tentang keperluan perubahan fatwa mengikut perubahan masa, tempat, kelaziman dan keadaan.

Meskipun begitu, Jawatankuasa Fatwa dan para mufti hari ini terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran untuk memastikan sesuatu fatwa yang dikeluarkan itu adalah tepat.

Mengulas mengenai perkara itu, Tahrir berkata, pengetahuan mendalam dalam bidang berkaitan agama seperti fiqh, usul fiqh, tafsir, hadis dan pandangan pelbagai mazhab yang muktabar adalah perlu. Tetapi mereka juga perlu menguasai ilmu lain termasuk kemasyarakatan, ekonomi dan sebagainya.

Beliau berkata, mufti juga perlu memahami ciri-ciri peradaban daripada segi ideologi serta sistem ekonomi dan memahami perbandingan agama (muqaranah al-adyan) supaya ia dapat menjelaskan keindahan Islam itu sendiri.

"Mufti juga harus memiliki kualiti peribadi sebagai pemimpin agama yang cemerlang seperti keterbukaan, dinamik, berani dan bersedia menanggung risiko dan sentiasa menjalankan tugas yang diamanahkan," katanya.

Cabaran lain yang dihadapi pada waktu ini dalam mengeluarkan sesebuah fatwa ialah merubah golongan tertentu dari sudut pemikiran atau mengubah paradigma pemikiran sesuatu kelompok yang boleh menjejaskan penerimaan mereka terhadap sesuatu fatwa yang dikeluarkan.

Beliau berkata, hal berkenaan turut meliputi kelompok yang fanatik dan eksklusif dengan menolak toleransi serta inklusif sehingga tidak mahu menerima pandangan daripada orang lain kecuali daripada kelompok itu sahaja.

Katanya, selain itu ada juga sesetengah kelompok manusia yang hanya berpegang dengan sikap jumud dan taklid mereka sendiri tanpa memperluaskan konsep ijtihad serta pembaharuan.

Selain itu, penyesuaian fatwa di dalam masyarakat itu sendiri merupakan antara cabaran terkini para mufti kerana mereka terpaksa mengeluarkan fatwa mengikut kesesuaian dan keadaan masyarakat itu sendiri yang berbeza latar belakang kehidupan.

Selain itu, beliau berkata, ketiadaan nas yang jelas dalam sesebuah masalah terutamanya dalam bidang sains dan teknologi menjadikan para mufti terpaksa menggunakan pendekatan ijtihad jama'ie untuk memastikan fatwa berkenaan relevan dengan peredaran zaman.

"Pelbagai isu yang tiada nas yang jelas mencakupi pelbagai bidang sama ada dari sudut ekonomi, politik, pertanian, sains dan teknologi, pendidikan, kemasyarakatan dan pelbagai lagi," katanya.

Beliau memberitahu, dalam memberikan fatwa, ada dua prinsip yang perlu diambil kira sebagai asas kepada hukum iaitu fiqh dan siasah.

Prinsip fiqh mengandungi kaedah menentukan hukum berasaskan data-data syariah yang diiktiraf manakala siasah pula mengandungi kaedah menentukan bagaimana hukum berkenaan direalisasikan atau difatwakan dalam masyarakat.

"Kadangkala seorang mufti berjaya mencapai suatu kesimpulan hukum yang tepat berasaskan teori fiqh tetapi berhadapan masalah untuk realisasikan hukum berkenaan memandangkan keadaan masyarakat semasa," katanya.

Tahrir berkata, para mufti tidak dapat lari daripada kemungkinan berlakunya kesalahan dalam fatwa yang dikeluarkan kerana terdapat beberapa unsur yang boleh menyebabkan berlakunya kesilapan seperti kealpaan terhadap nas-nas al-Quran dan sunah, pemahaman yang menyimpang daripada nas, tergesa-gesa dalam mengeluarkan fatwa dan sebagainya.

Dalam pada itu beliau turut memberikan beberapa cadangan bagi memastikan setiap fatwa yang dikeluarkan menepati segala kehendak syariah dan pada masa yang sama mengekalkan kredibilitinya selaku institusi syariah.

Beliau berkata, segala fatwa yang diwartakan hendaklah dilaksanakan secara profesional dan program pendidikan fatwa pelu ditingkatkan secara menyeluruh di setiap lapisan masyarakat demi mengelakkan sebarang pertikaian terhadap fatwa yang telah dikeluarkan.

Katanya lagi, institusi fatwa perlu dilihat sebagai institusi syariah dan bukannya sebagai institusi politik bagi memastikan kredibilitinya tidak dipertikaikan dan ia juga perlu mempunyai rangkaian kerjasama yang baik dengan semua pihak untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan.

"Para pegawai fatwa dan Ahli Jawatankuasa Fatwa perlu sentiasa didedahkan dengan persekitaran baru supaya segala keputusan yang hendak dikeluarkan dengan perkembangan semasa," tegasnya.

Khamis, 3 Disember 2009

Coretan Rasa

Sudah lama jari jemari saya tidak menekan papan kekunci. Saya tahu otak juga mungkin telah liat menyumbangkan sedikit idea untuk mencoretkan sesuatu.

"Yue, takkan cuti semester pun menyebabkan coretan juga terhenti?" Ngomel diri menusuk rasa.

Ah..tidak sebenarnya. Hati semakin rindu, rindu untuk menyusun bicara meluahkan rasa, rindu pada segala-galanya yang perlu dimanfaatkan bersama. Agak terlalu lama saya menahan, apakan daya, terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan. Itu dan ini, menyebabkan minat terpaksa dibiarkan buat seketika. Namun disebabkan rindu yang membuak-buak itulah..jari-jemari saya mula menari. Menari dengan pelbagai melodi yang berirama di hati.




Saya kira saya sudah boleh bernafas lega apabila peperiksaan semester telah pun berakhir, baru sahaja. Tapi hati semakin sesak bila tak lama lagi semester baru akan muncul. Sekejap je rasanya masa berlalu meninggalkan kita. Ia tetap sama, tapi disebabkan kealpaan kita dalam pengurusan masa, kita tidak tahu apakah ia dicurahkan pada jalan yang benar ataupun tidak.

Lulus Dekan, 3.5 and above atau tak?!!

Itu yang bersarang di hati. Seperti mana dalam lima senarai yang perlu kita capai; ESOK MATI, Hidup untuk Islam, Cepat dan pantas untuk Islam, 3.5 ke atas dan MUSLIMAT POWER. Ya, pencapaian itu perlu saya dan kita semua capai, walaubagaimanapun ia bukanlah rencah utama dalam menentukan takat bahawa kita ini pandai ataupun tidak. Namun, hati tetap gundah bercampur tawakkal dan redha padaNYA.

Dahi saya berkerut seribu. Yang mana dulu harus dilaksanakan. Pening! Bila check-check semula banyaknya buku yang masih lagi tak sempat habis dibaca. Target nak baca itu nak baca yang ini, belum lagi. Tapi hati terdetik pada bacaan tentang isu semasa, mungkin masih kurang ilmu di dada. Dan yang masih saya dahagakan ialah tentang ilmu Fiqh Mar’ah, tentang muslimah dan apa sahaja isu berkaitan kewanitaan. Sungguh, sungguh ceteknya ilmu yang saya miliki, jadi bagaimana untuk saya sampaikan sesuatu pada adik-adik? Kenapa pula nama saya yang dipilih dalam penyampaian tersebut?

Ya Allah….

Saya menelan air liur perlahan-lahan. Dalam tenang saya bertanya pada diri:

“Wahai diri mampukah dikau?!”

Lalu entah dari mana satu jawapan datang pada diri dan tanpa saya sedari saya telah menjawab dengan jawapan ini dengan suara yang perlahan:

“La yukallifullahu nafsan illa wus’aha” (Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya – Surah al-Baqarah: 286)

Bibir saya mengukir senyuman. Tenang…ada nyanyian kedamaian bermain di jiwa.
Dengan riang saya lalu berkata:

“Yes!La tahzan Innallaha Ma’aki (Jangan bersedih, Allah bersamamu), Yue boleh! Kena bergerak pantas..kalau asyik fikir je..bila kerja nak habis!”

Begitulah, seorang insan yang cukup saya kagumi sering berpesan, Yue, bertindak!!

Tapi..
Tapi..

Koreksi Diri

Yue, kalu asyik bertapi-tapi sampai bila tak menjadi k. Cuba lihat matlamatmu di depan..ia akan semakin hampir jika kau berusaha keras, sekeras usaha Nabi dalam menyampaikan dakwah. Lihat, Nabi langsung tidak berputus asa walau sering kali dicaci, dicerca oleh musuh-musuh Islam. Malahan pernah suatu ketika baginda telah diletakkan najis di kepalanya ketika baginda sujud. Baginda tidak bangun sehinggalah datang Fatimah membuang najis tersebut. Pun begitu tiada sekelumit perasaan marah pun di hati nabi pada ketika itu. Betapa mulianya baginda krana memiliki sifat sabar.

Ya yue, macamtulah iktibar dan pedoman untuk kau sentiasa bersabar..bersabar dan bersabar..


Saya tersenyum sendiri bila diri semangat bersemangat mengorak langkah..walaupun saya tahu kadangkala saya ini perlu ada yang sentiasa mengingatkan.

Program dan Tanggungjawab di Rumah


Baiti Jannati.. Tanggungjawab saya sebagai kakak sering menghimpit diri bila pulang ke rumah. Andai cuti pasti saya ‘melekat’ di rumah dengan pelbagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Rasa bosan kadang-kala ada juga melanda. Sebelum cuti, di ruang diari penuh dengan perancangan terhadap apa jua program yang bakal dilaksanakan. Pun begitu, perancangan Allah lebih sempurna, Dia lebih berhak mengatur segalanya. Saya fikir hikmahnya adalah mungkin kurangnya keberadaan saya bersama keluarga. Jadi, masa-masa yang ada ni lah perlu saya top up kan untuk bersama mereka. Lebih-lebih lagi 10 Disember ini adalah Hari Lahir permata hati saya yang ketujuh-Nur Auni Aisyah.


Semakin membesar dia. Seronok lihat adik-adik membesar tanpa sebarang masalah yang melanda. Moga-moga apa yang ayahbonda corakkan buat kami melakarkan kebaikan pada semua. Saya tahu, saya sering bersama masyarakat di luar sana, sedangkan masa saya bersama keluarga..? mungkin ini jugalah yang perlu saya pertimbangkan. Tapi saya tidak perlu risau kerana Allah itu Maha Adil. Setiap kali di jalan dakwah, doakanlah juga adik-adik kita dan saudara kita juga mendapat sepertimana yang kita berikan pada masyarakat di luar sana. Teruskan perjuangan ini teman-teman, teruskan. Ya, memang..memang kita juga melakukan kesilapan, namun mudah-mudahan sedikit sebanyak Allah menghapusi kesilapan kita itu dengan sedikit kebaikan yang kita lakukan.

Salam kerinduan buat semua…