CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Khamis, 24 Disember 2009

Cabaran FATWA dalam Era Moden

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
pengarang@utusan.com.my

INSTITUSI fatwa merupakan institusi yang sudah lama wujud di Malaysia dan merupakan satu sumber perundangan Islam selain daripada enakmen undang-undang bertulis di negara ini.

Walaupun fungsi dan tanggungjawab institusi ini berbeza daripada Majlis Agama Islam dan Mahkamah Syariah, daripada aspek perundangan, institusi ini mempunyai kuasa serta kedudukan tersendiri seperti yang ditetapkan dalam undang-undang Islam di setiap negeri.

Institusi ini juga mempunyai peranan dan tanggungjawab khusus untuk menyelesaikan sebarang persoalan mengenai hukum syarak serta menjelaskan kekeliruan dan kesamaran sesuatu hukum.

Fatwa mengikut Ensiklopedia Islam didefinisikan sebagai keputusan tentang sesuatu hukum agama (yang belum pernah diputuskan) berdasarkan al-Quran, hadis dan sumber hukum lain termasuk ijtihad mufti (atau mereka yang berhak tentang membuat keputusan hukum syarak).

Fatwa merupakan suatu keputusan yang dibuat oleh mufti atau penjelasan hukum syarak sesuatu kumpulan yang terdiri daripada mereka yang mahir dalam agama seperti Jawatankuasa Fatwa dan Jawatankuasa Syariah bagi sesuatu masalah sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya secara sendirian atau berjemaah.

Pada sesi pembentangan kertas kerja pada Simposium Kebangsaan mengenai Fiqh, Sains dan Teknologi (FST) 2009 di Johor Bahru baru-baru ini, Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsuddin berkata, fatwa berperanan memberikan penjelasan tentang hukum untuk pegangan masyarakat di samping membuat penyeragaman hukum bagi kepentingan semua.

Terdapat empat sumber rujukan utama bagi digunakan untuk mengeluarkan sesebuah fatwa iaitu al-Quran, sunah, ijmak dan qias.

Selain daripada empat sumber itu, Jawatankuasa Fatwa atau Mufti akan merujuk kepada pendapat para sahabat, tabiin, imam-imam mazhab dan fuqaha' dengan mengadakan penelitian terhadap dalil dan wajah istidlalnya.

Tahrir berkata, pendapat Mazhab Shafie akan digunakan untuk sesuatu fatwa kecuali jika didapati sebab tertentu untuk menggunakan mazhab-mazhab Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ) lain untuk mencari pendapat yang lebih kuat dalilnya untuk difatwakan.

"Apabila masalah yang difatwakan tidak terdapat dalam ketetapan, maka ia akan dilakukan mengikut ijtihad Jama'ie iaitu berdasarkan sumber al-masalih al-mursalah, al-urf atau al-adah muhakkamah, syar'u man qablana, amal ahl al-madinah, al-istihab, saddu az-zarai, al-istihsan dan kaedah-kaedah fiqh," katanya.

Al-Qardhawi dalam bukunya al-Ijtihad al-Mu'asir menegaskan, ijtihad semasa perlu dilakukan untuk menilai kembali hasil ijtihad dan fatwa zaman lampau yang tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

Mengulas mengenai perkara itu, Al-Qhardawi menekankan, para fuqaha terdahulu sentiasa mengingatkan tentang keperluan perubahan fatwa mengikut perubahan masa, tempat, kelaziman dan keadaan.

Meskipun begitu, Jawatankuasa Fatwa dan para mufti hari ini terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran untuk memastikan sesuatu fatwa yang dikeluarkan itu adalah tepat.

Mengulas mengenai perkara itu, Tahrir berkata, pengetahuan mendalam dalam bidang berkaitan agama seperti fiqh, usul fiqh, tafsir, hadis dan pandangan pelbagai mazhab yang muktabar adalah perlu. Tetapi mereka juga perlu menguasai ilmu lain termasuk kemasyarakatan, ekonomi dan sebagainya.

Beliau berkata, mufti juga perlu memahami ciri-ciri peradaban daripada segi ideologi serta sistem ekonomi dan memahami perbandingan agama (muqaranah al-adyan) supaya ia dapat menjelaskan keindahan Islam itu sendiri.

"Mufti juga harus memiliki kualiti peribadi sebagai pemimpin agama yang cemerlang seperti keterbukaan, dinamik, berani dan bersedia menanggung risiko dan sentiasa menjalankan tugas yang diamanahkan," katanya.

Cabaran lain yang dihadapi pada waktu ini dalam mengeluarkan sesebuah fatwa ialah merubah golongan tertentu dari sudut pemikiran atau mengubah paradigma pemikiran sesuatu kelompok yang boleh menjejaskan penerimaan mereka terhadap sesuatu fatwa yang dikeluarkan.

Beliau berkata, hal berkenaan turut meliputi kelompok yang fanatik dan eksklusif dengan menolak toleransi serta inklusif sehingga tidak mahu menerima pandangan daripada orang lain kecuali daripada kelompok itu sahaja.

Katanya, selain itu ada juga sesetengah kelompok manusia yang hanya berpegang dengan sikap jumud dan taklid mereka sendiri tanpa memperluaskan konsep ijtihad serta pembaharuan.

Selain itu, penyesuaian fatwa di dalam masyarakat itu sendiri merupakan antara cabaran terkini para mufti kerana mereka terpaksa mengeluarkan fatwa mengikut kesesuaian dan keadaan masyarakat itu sendiri yang berbeza latar belakang kehidupan.

Selain itu, beliau berkata, ketiadaan nas yang jelas dalam sesebuah masalah terutamanya dalam bidang sains dan teknologi menjadikan para mufti terpaksa menggunakan pendekatan ijtihad jama'ie untuk memastikan fatwa berkenaan relevan dengan peredaran zaman.

"Pelbagai isu yang tiada nas yang jelas mencakupi pelbagai bidang sama ada dari sudut ekonomi, politik, pertanian, sains dan teknologi, pendidikan, kemasyarakatan dan pelbagai lagi," katanya.

Beliau memberitahu, dalam memberikan fatwa, ada dua prinsip yang perlu diambil kira sebagai asas kepada hukum iaitu fiqh dan siasah.

Prinsip fiqh mengandungi kaedah menentukan hukum berasaskan data-data syariah yang diiktiraf manakala siasah pula mengandungi kaedah menentukan bagaimana hukum berkenaan direalisasikan atau difatwakan dalam masyarakat.

"Kadangkala seorang mufti berjaya mencapai suatu kesimpulan hukum yang tepat berasaskan teori fiqh tetapi berhadapan masalah untuk realisasikan hukum berkenaan memandangkan keadaan masyarakat semasa," katanya.

Tahrir berkata, para mufti tidak dapat lari daripada kemungkinan berlakunya kesalahan dalam fatwa yang dikeluarkan kerana terdapat beberapa unsur yang boleh menyebabkan berlakunya kesilapan seperti kealpaan terhadap nas-nas al-Quran dan sunah, pemahaman yang menyimpang daripada nas, tergesa-gesa dalam mengeluarkan fatwa dan sebagainya.

Dalam pada itu beliau turut memberikan beberapa cadangan bagi memastikan setiap fatwa yang dikeluarkan menepati segala kehendak syariah dan pada masa yang sama mengekalkan kredibilitinya selaku institusi syariah.

Beliau berkata, segala fatwa yang diwartakan hendaklah dilaksanakan secara profesional dan program pendidikan fatwa pelu ditingkatkan secara menyeluruh di setiap lapisan masyarakat demi mengelakkan sebarang pertikaian terhadap fatwa yang telah dikeluarkan.

Katanya lagi, institusi fatwa perlu dilihat sebagai institusi syariah dan bukannya sebagai institusi politik bagi memastikan kredibilitinya tidak dipertikaikan dan ia juga perlu mempunyai rangkaian kerjasama yang baik dengan semua pihak untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan.

"Para pegawai fatwa dan Ahli Jawatankuasa Fatwa perlu sentiasa didedahkan dengan persekitaran baru supaya segala keputusan yang hendak dikeluarkan dengan perkembangan semasa," tegasnya.

0 ulasan: