CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Jumaat, 4 September 2009

RAMADHAN BULAN TARBIYYAH




Sabarlah wahai hati-hati yang beriman

Kini di fasa kedua kita berada namun rasanya tak terlambat lagi untuk melafazkan Salam Ramadhan buat semua mahasiswa di muka bumi USIM ini. Sungguh pantas masa berlalu, tanpa kita sedar, masih tinggal beberapa detik untuk kita meraikan hari kemeriahan bagi umat Islam. Adakalanya kegembiraan itu datang kerana kita pasti akan menyambut dengan begitu meriah, akan tetapi, sayu menggamit perasaan saat Ramadhan ingin berlalu pergi. Kerana fadhilatnya besar buat kita. Tetapi ada ruangkah untuk kita peroleh rahmat sedemikian besar yang dijanjikan Tuhan?

Ku menadah tangan memohon rahmatMu Tuhan. Juga ku seru sahabat yang budiman, perbanyakkanlah doa. Sepertimana yang telah kita ketahui, bulan Ramadhan lah suatu bulan yang penuh dengan rahmat dan maghfirah dari Tuhan. Besar sungguh kelebihannya sehinggakan ia antara waktu-waktu yang mustajab untuk kita melafazkan doa.

Sebagaimana yang telah Rasulullah tegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud;
ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع

Ertinya: Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar)

Di dalam al-Quran Allah juga telah menyebutkan yang bermaksud:

“Berdoalah kepadaKu, nescaya akanKu perkenankan bagimu.”
(Surah Al-Mukmin, ayat 60)
Jesteru itu, bulan di sinilah medan untuk kita memperbanyakkan doa. Setiap daripada kita pasti mengimpikan sesuatu yang mungkin amat sukar untuk kita capai, tapi sedarlah, tiada siapa yang dapat membantu kita melainkan kehendak ALLAH jualah yang kita harapkan. Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Usah berdukacita andai apa yang kita hajatkan sukar untuk kita peroleh dan usah berputus asa andai apa yang kita mohonkan masih belum termakbul. Gunalah sebaik-baiknya keberkatan bulan ini untuk kita mencapai suatu darjat yang mulia di sisi Ilahi.
Sahabat-sahabat,
Kita ini terlalu banyak kesilapan, banyak ujian kesenangan dan keperitan yang kita terpaksa tempuh. Hari-hari kehidupan sebagai mahasiswa banyak memberi kita mehnah dan ujian, namun masih ada ruang pengampunan sebenarnya buat kita. Acapkali kita melafazkan kalimah istighfar, namun acapkali jugalah teman-teman, kita melakukan kesilapan. Kadang-kadang kita tak sedar setiap ketelanjuran yang kita lakukan baik di hadapan Tuhan mahupun manusia di sekeliling, justeru itu muhasabahlah diri..

Ku menyeru buat diri yang terlalu naif, juga buat teman.. keinsafan itu bukanlah perlu diungkapkan dengan kalam, namun bicara insaf perlu lahir dari hati seorang hamba yang ikhlas.

Sahabat-sahabat,

Kita terlalu sentiasa diuji, lebih besar lagi ujian itu datangnya dari nafsu yang merajai hati. Tinggi iman seseorang, maka semakin besarlah bebanan ujian yang dia tanggung. Setiap manusia tidak sama titisan ujian yang Allah kurniakan kepadanya. Nabi juga diuji inikan kita manusia biasa, pasti takkan lekang dari ujian.Di sinilah pusat pentarbiahan buat diri kita sekalian. Jangan dibiarkan nafsu terus menerus merajai sehingga membawa kealpaan. Tuhan ingin mnguji sejauh mana keimanan yang kita miliki. Seandainya kuat kita melawan, maka besarlah ganjaran Tuhan.

Ya, bercakap memang senang. Cukup senang..tapi melaksanakannya, hanya Tuhan yang mengetahui segala keperitan. Ku pujuk hati..untuk teruskan doa dan permintaan agar diberikan kekuatan. Berdoa dan terus berdoa, agar segala permohonan dimakbulkan. Ujian itu pasti kerana ia menjadi asam dalam perjuangan. Berdoalah..agar rahmat Tuhan mampu kita raih.

“Tiada Daya dan Tiada Kekuatan, kecuali dengan ALLAH.”

3.30 petang,
4 September 2009,
Surau Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

0 ulasan: