CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Rabu, 26 Ogos 2009

KEM JERAM MENGAJI..MENGAJI??


Jeram Mengaji

Khas buat tatapan adik-adik dan para ustaz ustazah Sekolah Menengah Ugama (Arab) Nurul Huda Bukit Yong. Kak yue tahu kalian menantikan satu coretan sebuah memori yang kita lakarkan baru-baru ini.

Tersingkaplah sebuah kenangan, ‘saudara kembar’ mengajak untuk sama-sama menjadi fasilitator untuk program dakwah Taqbiki, subjek wajib bagi para pelajar Dakwah dan Pengurusan. Walaupun mak agak keberatan pada mulanya dengan alasan pulangnya kak yue ke kampung adalah untuk berehat, tapi kak yue cuba juga memujuk agar dia membenarkan untuk ke sana. Sebagai seorang daie, tanggungjawab kita tak perlu terhenti walau kat mana pun kita berada. Alhamdulillah mak mengizinkan akhirnya.. ‘Saudara kembar’ (lain ibu lain ayah) kak yue, Nor Fatihah Suhaila Mohd Yusof dan rakan-rakan yang lain menjemput.

Satu kelebihan buat kak yue kerana lokasi kali ni berdekatan dengan rumah, jadi kak yue yang perlu menjadi penunjuk arah. Disebabkan ia berada jauh di pedalaman kampung, seingat kak yue, baru dua kali kak yue ke sana atas sebab tugasan dan mengikut atuk nenek ke kebun. Kali pertama adalah ketika bersama-sama kakitangan Unit Penguatkuasaan JAHEIK untuk membuat rondaan pada bulan Ramadhan beberapa tahun yang lepas. Pada masa tersebut kak yue menjalani latihan praktikal di Pejabat Qadhi, JAHEIK. Indah saat tu, pengalaman yang amat bermakna adik-adik. Walaupun bukanlah bermandi manda akan tetapi, keasyikan dan keindahan Jeram Mengaji membuatkan fikiran kita tenang. Sejujurnya asing, ia amat asing bagi kak yue namun senantiasa melayang-layang di kotak fikiran.

Kenapa ia dinamakan Jeram Mengaji?

Cerita yang kak yue terima daripada mak ayah, kenalan dan ustaz kenapa dinamakan Jeram Mengaji kerana pada malamnya lebih kurang waktu kita bangun untuk qiamullail, pasti akan didengari suara seakan-akan orang mengaji. Beruntung siapa yang dapat medengarnya. Walaubagaimanapun bagi penduduk yang terdekat, tempat ini lebih dikenali dengan Jeram Mak Nenek. Pelik bukan? Itulah ciptaan Tuhan, masih banyak tempat yang kita tidak mampu terokai sebenarnya.

Penat Menunggu.

Ini kehendak Allah, kita merancang dia yang mengaturkan segalanya. Pada hari tersebut, kedatangan adik-adik agar lewat membuatkan kami terpaksa mengubah agenda ke pelan B. Walaupun begitu, bagi kak yue kepenatan menunggu langsung hilang disebabkan kemeriahan dan keakraban yang adik-adik corakkan dari awal kedatangan lagi. Dan apa yang kak yue lihat, ukhwah antara kalian cukup rapat, begitu juga dengan para ustaz ustazah. Rezeki yang mencurah-curah Allah kurniakan buat kita. Jam 10 malam lebih, kita sama-sama makan daging kambing bakar, manakala proses membakarnya turut adik-adik lakukan bersama ustaz Abi, ustaz Qamar dan ustaz Fadhilah. Daging diperap awal oleh Ustaz Qamar dan isteri. Sebenarnya inilah kali pertama kak yue merasai daging kambing sebegini kerana kak yue bukanlah penggemar kambing. Tapi bila tengok ustaz-ustazah, sahabat-sahabat fc dan adik-adik makan, kak yue cuba..memang sedap. Tradisi negara arab cuba ustaz-ustaz terapkan.

“Enti, kamu berdua ni adik beradik ke?” Tanya ustaz Fadhilah pada kak yue dan kak suhaila. Ni yang ke berapa kali orang menyanyakan sedemikian. Kami ibarat kembar. Iras sangat ke? Sampaikan para fc, pelajar Ma’ahad Saniah dan juga di kalangan pelajar USIM sendiri pun mengatakan kami ini adik beradik. Sedangkan kami pun dah lama tak berjumpa, berpisah di tingkatan lima dan kemudiannya bertemu semula di USIM. Untuk pengetahuan, ustaz Fadhilah telah mengajar kak yue sejak di tingkatan empat lagi. Kemudian dia berpindah ketika kak yue di tingatan lima dan kini baru bertemu kembali. Kenangan belajar dengan ustaz, tak dapat dilupakan kerana bagi kak yue, ustaz sungguh alim, tinggi ilmunya. Alhamdulillah ustaz masih kenal.

Kak yue bersyukur walau terpaksa menjadi fc dan sekaligus terpaksa menguruskan bahagian makanan adik-adik, namun keletihan langsung tak terpancar bila tengok reaksi adik-adik yang ringin tulang membantu, kita rewang bersama tika masak-memasak. Dalam LDK terakhir, kak yue boleh simpulkan adik-adik semua memang ada potensi sebenarnya. Biarpun tinggi melangit mana pun cita-cita kita dik, dengan izin Allah kita pasti mampu capai cita-cita tersebut jika disusuli dengan usaha dan penyerahan kita pada Allah. Ia satu jihad yang besar buat kita. Jangan sesekali jadikan kesusahan dan kesulitan yang kita hadapi membuatkan semangat kita luntur, pudar sehingga terus kabur. Jangan sesekali.

"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan dibiarkan, sedang Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman. dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan." (al-taubah ayat 17)

Adik-adik pasti mampu melakarkan kejayaan demi masa depan kalian. Kami ini bukanlah contoh yang terbaik untuk adik-adik contohi, namun rujuklah kami andai ada sebarang kemusykilan. Kami sedia membantu.

Selepas program, lewat kak yue sampai rumah. Esoknya kita menyambut awal Ramadhan. Terasa bertalu-talu mesej yang kak yue terima daripada adik-adik. InsyaAllah ukhwah kita takkan terhenti di sini. Kak yue akan cuba realisasikan harapan adik-adik untuk bertemu kembali. Moga-moga sedikit perkongsian yang kak yue dan kakak-kakak dan abang-abang fc yang lain curahkan beri adik-adik kekuatan untuk berusaha menjejakkan kaki ke universiti. Buat adik Ain, Ainun, Mat, Muin, Mustaqim, Sumaiyyah, Adilah dan yang lain-lain kak yue doakan moga kalian berjaya di arena SPM nanti. Ingat, SPM itu penentu kejayaan. Dari sinilah kita perlu mencorakkan diri kita, ke mana kita akan tuju untuk masa akan datang. Setiap diri kita banyak peranannya dik. Suatu hari nanti kita pasti akan merasai bahawa aku ini punya tanggungjawab, punya amanah yang tinggi. Lebih-lebih lagi untuk Islam. Memang Allah tak nilai sijil-sijil kita, namun dari sinilah penilaian manusia terhadap kita. Kerana setiap tutur bicara yang kita sampaikan perlu ada hujjah yang mendalam berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Manusia yang berjaya bukan sahaja dipandang tinggi dalam masyarakat namun dijadikan tempat rujukan. Tidakkah kita ingin menjadi begitu?

"Bagi orang-orang yang memenuhi seruan Tuhannya, (disediakan) pembalasan yang baik. Dan orang-orang yang tidak memenuhi seruan Tuhan, sekiranya mereka mempunyai semua (kekayaan) yang ada di bumi dan (ditambah) sebanyak isi bumi itu lagi besertanya, niscaya mereka akan menebus dirinya dengan kekayaan itu. orang-orang itu disediakan baginya hisab yang buruk dan tempat kediaman mereka ialah Jahanam dan Itulah seburuk-buruk tempat kediaman."

P/s: kak yue minta maaf sebab tak sempat untuk poskan gambar buat adik-adik. Jadi buat tatapan kalian, kak yue sertakan sekali gambar buat kenangan.


Adik-adik peserta dan beberapa orang fc.






makan daging kambing


ustaz-ustaz membakar daging




keayuan adik-adik muslimah







keberangkatan pulang

syukran.

Wallahua’lam..
Nurul Asyhira bt Mastari
Kuliyyah Syariah wal Qanun
Takhassus fil Fiqh wal Fatawa.

Selasa, 4 Ogos 2009

ISA itu Meragut Kebahagian KAMI!!

Bingkisan ini ku kirimkan buat teman2 dan kedua ibu bapa yang telah banyak mendidik aku menjadi seorang insan berguna di dunia yang fana ini. Aku insan kerdil yang dianugerahkan dengan nama Durratul Hanan yang baru sahaja disunti oleh seorang insan yang tak pernah ku impikan. Moga2 terlahirnya sisipan ini kan banyak memberi makna dan manfaat buat semua. Terimalah nukilanku ini..hanya sekadar perkongsian..

”Bu,abah, Hanan rasa, Hanan dah bersedia bu...minggu depan, seorang lelaki yang benar-benar Hanan yakin untuk Hanan jadikan di sebagai pemimpin Hanan akan datang ke rumah untuk perkenalkan diri..”

Aku cuba kuatkan hati untuk berterus terang pada ibu dan ayah suatu malam dengan penuh keberanian.

”Hanan, apa yang Hanan cakap ni? Hanan sedar tak ni? Siapa lelaki yang berani sangat tu? Hanan tahu tak, hanan ni tak habis belajar lagi..macam mana nak kahwin..siapa nak tanggung nanti?” Tanya ibu bertalu-talu.. aku lihat abah juga sedikit tergamam..

”Ya bu, Hanan tahu..dan Hanan sedar yang Hanan masih lagi belajar..Hanan buat keputusan ni bukan untuk suka-suka bu, abah.. Ni adalah hasil istikharah Hanan selama beberapa lama..Hanan dah fikir semasak-masaknya bu..Hanan tak nak perasaan Hanan bercampur noda kerana Hanan nak jadi wanita solehah bu, abah..”

Ku teringat tentang kisah-kisah ibu suatu ketika dahulu. Ibu tak pernah bercerita tentang peristiwa lampaunya tapi disebabkan aku ini cucu kesayangan nenek, maka tak pernah jenuh kisah-kisah ibu sedari kecil dia ceritakan padaku. Kata nenek, dulu ibu kahwin di usia muda, abah benar-benar ingin menyunting ibu walaupun dia tahu yang pada ketika itu ibu masih lagi di awal alam pekerjaan untuk menyara keluarga.

”Hanan, nenek dan atuk tak berapa berkenan kat abah Hanan dulu sebabnya dia bukan orang satu negeri kita. Tapi disebabkan kesungguhan ayah Hanan nak kat ibu, atuk terpaksa akur untuk mewalikannya. Hubungan kami semakin suram sehinggalah Allah kurniakan Hanan untuk kami, cucu pertama kami.” Cerita nenek semasa aku baring di pahanya. Aku manja dengan dia dan nenek tak pernah melarang malah semakin rancak tangannya mengusap-usap rambutku yang ikal, terasa sepoi-sepoi beriringan sisipan belaian nenek..lembut..

”Tapi nek, kalau nek dan atuk tak suka abah, kenapa hubungan nek dan abah baik je, macam nek ni mak abah pulak?” tanyaku keliru.

”Itulah kuasa Allah namanya Hanan, semakin lama semakin rapat hubungan kami, sebabnya bukanlah setakat Hanan lahir je, tapi kebaikan yang abah Hanan curahkan untuk kami. Dia seorang menantu yang bertanggungjawab, beriman, dan tak pernah mengabaikan tanggungjawab dia pada ibu Hanan. Itu yang nenek nampak pada dia.

Betul nek, aku syukur kerana memiliki abah. Abahlah seorang ayah yang terbaik di dunia ni.. Monolog ku tika bersendirian, aku memikirkan apakah aku ini senasib dengan ibu?

Malam tu berlalu..sepi..tiada ciuman dari seorang ibu yang kebiasaannya aku rasakan. Aku menangis teresak-esak mengenangkan nasib diri, aku tahu ibu punya firasat tersendiri. Ketegasan ibuku rasakan. Abah tergamam.. malam ku habiskan dengan berkhulwah dengan Allah kerana pada ketika ini Allah lah tempat aku mengadu, meluahkan segala apa yang tersimpan di hati. Aku kaget, keliru dengan masa depan yang ingin ku corak sendiri. Ku tertidur di sejadah usamku..

Mengertilah ibu abahku, ku ingin pernikahan ini bukanlah disebabkan ikutan hawa nafsu semata, tapi kami ingin membina tapak untuk kami semai di medan jihad nanti. Kami tak mahu hati kami berlopak, cacat dibiak oleh tompok-tompok hitam, noda itu membuatkan kami terbantut melaksanakan tanggungjawab kami selaku hamba dan khalifahNya di muka bumi ini. Kami ingin bergabung menyemai keutuhan diri untuk melangkah terus di medan jihad. Mengertilah ibuku, mengertilah abahku..ya Allah, hanya Kau yang memahami rasa hatiku kala ini.

Suatu petang yang hening, abah memanggil untuk borak bersama di balkoni rumah. Angin petang menyapa kami. Sunyi.

”Hanan, boleh abah kenal dengan bakal menantu abah tu, asal mana, apa yang dia lakukan sekarang, macam mana tarbiyyah dia, hebatkah orangnya sampai berjaya memiliki hati anak abah ni?” tanya abah padaku.

Aku cuba kawal perasaan saat tu, dengan tenang aku terangkan segalanya tentang diri Mukhlis pada abah. Walaupun Mukhlis itu bukanlah seorang yang kaya orangnya, tapi iman dan perjuangannya membuatkan kusambut cinta setelah dia khabarkan rasa kasihnya padaku setelah sekian lama memendam rasa. Kini ku semakin yakin bahawa dialah pilihan hati yang selama ini ku cari. Batasan syariat menyusuri perhubungan kami sehinggalah suatu saat yang benar-benar memberi debaran pada hatiku, dia ingin melamarku, sungguh!

”Hujung minggu ni bagi tahu Mukhlis, datanglah perkenalkan diri, ibu dan abah tunggu..” bagitahu ibu di belakang kami. Asyik. Aku tak menyedari dia di situ. Kami berpelukan, air mataku mengalir kesyukuran. Laju..

”Ibu minta maaf Hanan, ibu sayang Hanan, ibu yakin pilihan Hanan itulah yang sebaiknya. Ibu dan abah tak akan halang, Hanan..”

Terima kasih bu..terima kasih untuk segalanya..doakan Hanan bahagia bu, abah..


************************************************************************



Syukur, walaupun di awalnya hubungan kami seakan-akan tidak diterima, namun Allah permudahkan jua akhirnya. Lafaz telah terakad, tersimpul kukuh bagaikan bersatunya hati-hati kami. Aku milik Mukhlis akhirnya. Majlis pernikahan sahaja yang kami lakukan, nikah khitbah. Hanya jamuan buat sanak saudara dan sahabat-sahabat kami yang terdekat.

”Sayang, terima kasih kerana mampu pertahankan hubungan ini walaupun abang bukanlah selayaknya menerima cinta sayang.”

Lafaz kalimat itu kudengari keluar dari bibir kemerahan Mukhlis, walaupun nadanya tersekat-sekat tapi ku dapat rasakan keikhlasannya waktu itu. Kami bertentangan dan sesekali mataku teralih..malu..kerana ku tidak pernah bertentang mata dengan seorang lelaki apatah lagi dengan lelaki yang ku cintai kerana Allah ini.

”Abang, jangan kata macam tu abang, sayang juga cintakan abang sejak kali pertama kita pernah berjihad di medan juang yang sama suatu ketika dulu. Tapi Hanan pendam abang, Hanan tak nak kalau-kalau terungkapnya kasih ini, maka terabai rasa kasih kita pada Allah. Tapi sekarang kita dah tak ada hijab lagi. Hati sayang milik abang, seluruh jasad dan kepunyaan sayang adalah milik abang. Sayang inginkan zuriat yang soleh bersama abang.

”Ya sayang, kita pasti lahirkan pejuang-pejuang kita suatu hari nanti, demi Islam sayang..”

Suatu kucupan singgah di dahi ku. Lembut. Dan malam meyingkap tirai kami bersama, melepaskan rasa yang terpendam, kenikmatannya hanya Allah yang tahu..syukur padaMu ya Allah. Indahnya saat bercinta tika ini, halal untuk kami.

Kini masuk di bulan kedua perkahwinan kami, pelayaran bahtera pernikahan kami kami teruskan, bahagia. Segala-galanya kami kongsikan bersama. Ceritera perjuangan kami lakukan namun taklifan kami tak pernah kami terabai. Walau sesibuk mana tugasan di pejabat, Mukhlis tetap menghubungiku, melahirkan rasa kasihnya padaku.

Hatiku tetang..setenang air di kali. Terasa ruang-ruang ilmu mudah menyelinap masuk di benak fkiranku. Kami menelaah bersama, menumpukan pada karenah perjuangan bersama. Aku perlu berkongsi kasih dari Mukhlis kerana aku tahu dia bukan hanya milikku tapi juga milik Islam. Semakin hari semakin bertambah rezeki kami dan kini Mukhlis pula telah disunting oleh sebuah saluran penyiaran untuk menjadi ahli panel tetap di televisyen berkenaan.

Semester akhir pengajianku di universiti melahirkan suatu tanda-tanda yang aku bakal memiliki ’orang ketiga’ bersama Mukhlis. Dialah yang bakal menjadi obor sebagai kesinambungan dalam memperjuagan Islam di muka bumi ini. Mukhlis lah orang yang paling bahagia waktu itu, yang senantiasa bagi semangat dan dorongan untuk aku teruskan perjuanganku di alam kampus walaupun terpaksa menanggung seorang bayi di kandunganku. Dia menghantar dan menjemputku ke kuliah walau sesibuk mana pun dia. Aku semakin punya kekuatan walau kesusahan mengandungkan anak pertama kami ku rasakan, namun syukur, bayiku ini tidak pernah punya ragam untuk melemahkan aku. Aku perlu berlumba-lumba dengan sahabat yang lain walaupun aku tidak seperti mereka, perlu perlahan-lahan menggerakkan langkah, tapi mindaku sentiasa ku buka untuk menerima ilmu daripada para pensyarah. Aku ingin terus utuh dengan gelaran ’top student’ bukan hanya dari segi ilmu, bahkan juga dari segi pertarbiyyahan dalam diriku. Aku perlu pertahankannya walau tanggungjawabku bertambah untuk Mukhlis dan bayi yang bakalku lahirkan.

Saban malam, Mukhlis pasti menghembuskan ayat-ayat suci buatku dan bayi kami. Perutku semakin membesar, dia usap dan belai rambutku..sehinggaku lena dalam belaian dan dodoian zikrullah buatku. Syahdu, lunak suara suamiku..

Namun kini ku rindu, rindu untuk dibelai dan didodoi dengan untaian suci kalimah Ilahi, alunan suami. Dia di penjara kini. ISA meragut kebahagiaan kami. Syaitan semua pembelot-pembelot negara! Kalian tidak layak bergelar khalifah apatah lagi pemimpin seperti mana yang kalian khabarkan. Liberalisme, sosialisme,menjadi teraju dalam pimpinan kalian. Di mana hati suci kalian dalam membela insan yang tak bersalah seperti kami?

Suami ku kini di tahanan. ISA telah memusnahkan hidup kami sekelip mata. Ku lihat tubuh indah suamiku semakin susut tak bermaya, ku hilang tempat bergantung. Ibu abah memapahku pulang. Suami yang selama ini ku damba tiada pembelaan..dikatakan bersalah walau tugas mempertahankan Islam. Di mana hak kami Tuhan, di mana pembelaan buat kami Tuhan, kasihanilah anak kami...!


14 Syaaban 1430H
12.37 pagi.
Yue-emaniez