CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Selasa, 26 Mei 2009

Anak: Rezeki atau Bencana???



Saban hari kita sering digemparkan dengan pelbagai jenis masalah sosial yang kian menjadi barah dalam masyarakat. Sungguh menyedihkan kerana daripada masalah-masalah dilakukan, statistik yang terbanyak adalah dicatatkan oleh bangsa kita sendiri yang mana mereka juga beragama Islam.

Di sini penulis ingin membawa para pembaca dan mengingatkan diri penulis sendiri bahawa dalam banyak-banyak masalah itu, pembuagan anak adalah antara masalah tertinggi yang dicatatkan kebelakangan ini. 22 Mei lepas, sorotan dada-dada akhbar sekali lagi melaporkan berita tentang penemuan mayat seorang bayi di kawasan semak berhampiran dengan tapak projek rumah terbengkalai di Kampung Melayu Subang. Yang menyedihkan hati kita lagi adalah tatkala melihatkan sekujur tubuh yang tiada lengan dan kaki serta beberapa kesan gigitan pada tubuh badannya. Si kecil yang tidak bersalah menjadi mangsa di atas ketandusan iman manusia yang bergelar hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini. Maha Suci Allah, hati tercalar melihatkan bayi tersebut.

Anak

Bila bercakap tentang anak, kita pasti tersenyum keseorangan kerana kita juga seorang anak, jadi bila disebut perihal anak secara automatiknya minda kita menerjah terbayangkan bagaimana untuk menggalas bebanan sebagaimana ibu dan ayah kita lakukan sekarang.

Anak adalah satu anugerah yang cukup bernilai buat setiap pasangan suami isteri yang datangnya daripada kurniaan Yang Maha Esa. Kedatangan mereka merupakan suatu penantian yang penuh debaran dan sebagai tanda kasih sayang, ibu bapa pasti tidak senang untuk memikirkan apakah nama yang sesuai untuk anak mereka. Hal ini juga jelas tercatat dalam sirah junjungan saat ibu nabi kita Muhammad s.a.w, Aminah yang sering didatangi mimpi dan bisikan untuk menamakan bayi dalam kandungannya dengan nama yang sungguh indah iaitu ‘Muhammad”. Lalu ilham itu telah diadaptasikan tatkala nabi kita dilahirkan. Begitu jugalah dengan setiap pasangan suami isteri, mereka juga melalui saat sedemikian kerana setiap ibu bapa pasti menginginkan yang terbaik untuk anak lebih-lebih lagi anak yang dikandung itu anak pertama. Nabi s.a.w ada mengingatkan kita dengan bersabda:

“Tanggunjawab bapa kepada anaknya ialah memberikan nama yang baik dan memperelokkan adabnya.” (Riwayat al-baihaqi daripda Ibnu Abbas).

Namun bagaimana pula dengan anak yang tidak dinantikan tapi hadir juga? Disebabkan perkara itulah kita sering disogokkan dengan pelbagai kes pembuangan dan penderaan yang mana haiwan sendiri pun tidak berkelakuan sedemikian rupa. Seperti yang berlaku ke atas dua orang adik beradik yang berusia dalam lingkungan sembilan dan enam tahun baru-baru ini, mereka telah didera oleh ibu tiri dengan begitu tragis sekali. Bukan hanya dipukul dengan penyangkut baju sehingga patah bahkan mereka juga dipaksa agar meminum air kencing dan menjilat mangkuk tandas tanpa rasa belas kasihan sedikit pun. Kenapa hal yang demikian berlaku sedangkan kita sudah pun berada di alaf serba canggih, namun masih lagi ada manusia yang tidak berperikemanusiaan? Tidak sedarkah kita bahawa anak merupakan suatu tonggak yang penting bukan sahaja untuk agama, bangsa malahan juga negara yang kita cintai ini.

Setelah anak dilahirkan

Sayangilah anak kita sekalian kerana tanpa nilai murni dan tarbiyyah Islam dilaksanakan, maka rosaklah negara, bercambahlah budaya kuning dalam masyarakat kita. Dari awal kelahiran, bapa dituntut agar mengazankan/mengiqamatkan ke telinga anak dengan kalimah suci. Di samping itu, Islam juga amat menggalakkan agar setiap bayi yang lahir dapat diberikan susu ibu sejaklah dari awal kelahiran lagi. Namun, realiti yang dapat kita lihat sekarang adalah ibu bapa lebih selesa untuk memberikan anak mereka susu formula yang kian banyak di pasaran. Hal ini sudah tentu tersasar jauh dari kehendak Islam sebagaimana yang telah Allah firmankan dalam Sural al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud;

“Dan ibu-ibu hendaklah mnyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi mereka yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”

Begitu agung Allah s.a.w, sebaik sahaja ibu melahirkan seorang bayi maka proses pengeluaran susu juga bermula. Banyak faedah kita dapat lihat bukan sahaja pada bayi tetapi juga pada ibu yang melahirkan. Ironinya, ramai wanita takut untuk memberikan bayi mereka susunya sendiri kerana takut bentuk tubuh badan mereka akan berubah. Namun sedarkah kita dengan memberikan susu dan dibantu dengan sedikit senaman, seseorang wanita itu akan dapat melangsingkan badannya semula dengan segera.

Dalam hal ini, penulis begitu kagum pada ibu-ibu yang juga bekerja akan tetapi dalam masa yang sama tetap berusaha untuk tidak memberikan anak mereka dengan susu formula yang ada sekarang. Dalam kepayaan dan kekangan masa yang ada, mereka akan sedaya upaya mengekalkan perlakuan murni ini. Dalam hal ini suami juga berperanan berpandukan teknologi dan kaedah-kaedah yang ada sekarang. Pernah penulis lihat dalam situasi seorang ibu yang bergiat dengan perjuangan dan kerja-kerja Islam itu sendiri, waktu rehatnya dia akan memgambil peluang untuk pulang menjenguk anak di rumah dan jika ingin meninggalkan bayinya, dia akan membekalkan susunya sebagai simpanan. Begitulah iktibarnya, walau sesibuk mana sekalipun seseorang ibu, pelbagai cara boleh diambil untuk meneruskan ajaran murni ini.

Berbalik pula pada trend yang dibawa sesetengah ibu bapa kini pula, mereka lebih cenderung untuk mengajar anak-anak mereka dari seawal dua tahun dengan menyebut A, B, C, D, E atau 1, 2,3 bukan dengan mengenalkan mereka dengan Pencipta Yang Maha Esa. Mereka juga mengajar anak-anak untuk menyebut papa dan mama bukan dengan mengajar anak terlebih dahulu menyebut Allah. Sepatutnya anak-anak diberi pentarbiayyahan dengan asas-asas aqidah seperti yang diajarkan dalam agama Islam yang suci. Jika kaedah-kaedah seperti ini tidak terlaksana, maka tidak hairanlah mengapa dan kenapa gejala sosial semakin bertambah dalam masyarakat kita dari hari ke hari seperti kes-kes lain juga seperti kes ragut, rogol, bunuh, delinkuen di kalangan remaja, dan sebagainya.

Justeru itu, sedarlah kita pelbagai method harus diambil untuk menangani permasalahan ini, kerana jika tidak dikekang hingga ke akar umbinya maka semakin berleluasalah gejala sosial umat pada masa kini. Bukan sahaja kes-kes yang telah disebutkan di awal perbincangan tadi, tetapi juga masalah-masalah lain pasti akan terus membiak dan merebak sehingga lebih banyak. Bagi penulis, tonggak utama yang mencorak baik buruknya dalam pembentukan masyarakat kita kini adalah ibu bapa itu sendiri. Kita tidak perlu menuding jari ke arah pihak lain akan tetapi hendaklah terlebih dahulu muhasabah diri kita sendiri terlebih dahulu. Sepertimana yang telah dijelaskan dalam sabda Rasul Junjungan;

“Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan suci bersih, maka ibu bapanyalah yang bertanggungjawab membentuk samada Yahudi, Nasrani atau Majusi.”


Di akhir kalam, penulis ingatkan sekali lagi untuk diri penulis sendiri dan juga para pembaca yang budiman agar, pilihlah pasangan yang beriman, beramal soleh dan berfikrah dengan fikrah Islam agar pembentukan keluarga mampu dalam lingkungan syariat Islam bagi meneruskan kesinambungan perjuangan dan mampu untuk melahirkan pejuang-pejuang dan serikandi Islam untuk masa hadapan.

Sekian,
Nurul Asyhira binti Mastari
Hamba ALLAH yang dhaif.

0 ulasan: